Thursday, 14 June 2012

TEMA 4 : HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG SEMAKIN RENGGANG – USAHA- USAHA MERAPATKANNYA

Tajuk 1 : Rencana ‐ Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, factor dan usaha)
Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang
Oleh Zaidora Zahid
Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang‐orang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrok kian menggamit perhatian semua pihak.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang amat menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang, ahli‐ahli keluarga akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu, ahli‐ahli keluarga tidak memahami antara satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.
Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah pengabaian ahli‐ahli keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu, mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan uzur ke rumah orang tua‐tua. Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di kaki lima. Perbuatan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.
Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang bertiup. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh media massa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini. Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya semata‐mata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak‐anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak‐anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik‐tolak dari sinilah, gejala sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.
Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah diambil secara berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik‐baiknya, segala konflik atau masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-sama. Tambahan pula, ahli‐ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama‐sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.
Selain itu, ahli‐ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai‐nilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa subjek‐subjek ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.
Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak. Penerapan nilai‐nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak‐anak muda haruslah dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya dijadikan azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan
yang semakin renggang. Jadikanlah Rumahku Syurgaku” sebagai tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang menimbulkan suasana yang tegang.
[1 122 patah kata]

Saturday, 2 June 2012

Rakan-Rakan Sekelas 4 Excellent SMKSR 2012












Guru Disiplin bertukar sekolah

Assalamualaikum.
Seperti yang semua tahu, guru disiplin kita, Ustaz Mohd. Ismadi bin Suhaimi telah pun membuat pertukaran sekolah ke SMKA Kuala Lumpur. Pada hari merentas desa lalu, beliau bersama kita menyaksikan kemenangan rumah Rajawali dalam Kejohanan Merentas Desa kali ke-22. Hari tersebut merupakan hari terakhir beliau berada di SMK Nitar. Pemergian beliau ke sekolah luar adalah berat untuk kami warga sekolah menerima, namun itulah keputusan beliau. Kami di sini, akan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan beliau di ibu kota. Ketika beliau membuat sedikit ucapan terakhir pada hari tersebut, beliau berpesan agar pelajar SMK Nitar menjadi 'orang'. Saat beliau meminta maaf daripada kami, perasaan sebak mulai menyelubungi. Tetapi, walau apapun kami warga sekolah akan sentiasa menyokong beliau. Pesanan buat Ustaz Ismadi, "jangan lupakan kami disini ya." Selalu-selalulah datang ke SMK Nitar kalau rindu. Sekian.

Sunday, 27 May 2012

Konsert Hore Hore Aznil Menghiburkan

KUALA LUMPUR: Pengacara Aznil Nawawi, 48, membuktikan dirinya merupakan seorang penghibur nombor satu negara apabila Konsert Hore Hore yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Sabtu, berjayamenghiburkan lebih lapan ribu pengunjung yang hadir.
Pada acara tersebut Aznil berjaya menyampaikan lebih 20 buah lagu termasuk lagu-lagu popular Allahyarham Sudirman seperti Hujan, Apa Khabar Orang Kampung, Pulang Dari Kilang, Dari Kerana Mata, AkuPenganggur dan Salam Terakhir.
Selain itu, segmen bersama penonton sangat menghiburkan apabila gelagat Aznil bersama beberapa penonton yang dijemput naik ke pentas mendapat perhatian penonton yang hadir.
Konsert berdurasi dua jam itu juga menampilkan beberapa artis undanganseperti Saiful Apek, Zahid Af2, Ana Raffali, Altimet dan Lan The Typewriter.
Sementara itu, Aznil yang ditemui selepas konsert tersebut menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan.
"Hari ini saya berjaya cabar diri sendiri untuk buat persembahan ini dan tidak menyangka ramai yang datang dengan membeli tiket.
"Biarpun hujan renyai-renyai mereka tetap menunggu sehingga konsert ni tama," katanya.
Tambah Aznil, cabaran utama adakah untuk menghafal semua lirik dan menyampaikan lagu dengan baik.
"Saya banyak kurangkan makan makanan berminyak, pedas dan banyak lagi pantang larang untuk menjaga suara.
"Alhamdulillah malam ini saya dapat sampaikan lagu itu dengan baik biarpun ada yang terlupa lirik," katanya.
Pada malam tersebut juga, Aznil mengambil peluang untuk memperkenalkan ahli keluarganya yang banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.
"Saya rasa ini masa paling sesuai dan tepat untuk memperkenalkan Mereka kepada peminat saya. mereka merupakan tulang belakang kepada kerjaya saya selama ini.
"Mereka telah melalui pelbagai dugaan yang datang dari kontroversi saya, saya mahu kongsi rasa bangga ini bersama mereka," katanya.
Pada malam itu juga, Aznil bersama kumpulan Hero Malaya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30,000 kepada seorang kanak- kanak yang menghidapi penyakit jantung berlubang.
Selain itu, pelbagai hadiah diberikan kepada pengunjung yang bertuah seperti barangan Habib Jewel bernilai RM 50,000, pakej Umrah dan sebuah kereta Myvi.
Konsert yang dianjurkan oleh RYE Production dengan kerjasama pihak Astro dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berkonsepkan kekeluargaan dan ia diadakan sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Saturday, 26 May 2012

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Menjelang abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin maju, kita dapati bahawa tapak bumi ini telah menjadi mangsa dalam arus permodenan ini. Sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat mengenai isu pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air, udara dan darat. Antaranya, isu jerebu yang mengancam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan telah menjadi topik hangat yang dibincang dari kedai kopi hingga ke parlimen. “Kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang”. Sikap manusia zaman moden yang asyik mengejar fata morgana sehingga mengabaikan isu pencemaran alam sekitar, merupakan faktor yang menyebabkan keadaan ini semakin merosot. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang akan menerima padahnya pada suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam sekitar? Jawapannya terletak pada kita semua. Tidak kira siapa, yang pastinya semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.

Pepatah Melayu ada mengatakan “tiada penyakit yang tiada penawarnya”. Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara. Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan dapat diatasi.

Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para pelajar. Oleh itu, pihak sekolah juga berperanan besar dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, pendidikan alam sekitar secara langsung dapat diberi kepada para pelajar. Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu kepada pelajar seperti meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar dan menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas. Secara tidak langsung, mereka dapat disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa oleh pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya kesedaran ini, barulah mereka akan mencurahkan usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan melalui penubuhan Kelab Alam Sekitar. Tamsilnya, Kelab Alam Sekitar boleh mengadakan pelbagai program seperti ceramah dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dengan tujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar secara intensif. Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga merupakan salah satu langkah yang dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce, Reuse, Recycle’. ‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari kian berkurangan seperti petroleum dan arang batu. ‘Reuse’ pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah, berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi semakin serius.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam sekitar kebanyakannya berpunca daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Menyedari kesan-kesan negatif yang dibawa oleh pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-undang untuk menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan bahawa hukuman mandatori lima tahun penjara terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden sesebuah syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar. Mereka akan diberi amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan melepaskan asap hitam dan sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi berlaku, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti yang diputuskan oleh kabinet. Pengusaha-pengusaha kilang haruslah menapis asap hitam dan menggunakan alternatif lain untuk menghapuskan sisa-sisa toksik kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi kesenangan diri. Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuasa untuk mendakwa pihak yang mencemarkan alam sekitar dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar. Dengan itu, diharapkan pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.

Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelstarian alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.

MANFAAT TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI

Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang mendapat tempat dalam sanubari segenap lapisan masyarakat. Kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk menerapkan budaya teknologi maklumat kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.
 
 
Teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.


           Selain itu, teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendi­dikan negara kita. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan. Apabila terlaksana kelak, sumber rujukan yang utama bagi pelajar bukan lagi guru mereka. Guru akan dianggap sebagai pemudah cara. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan dikendalikan oleh komputer. Sumber rujukan pula adalah dari sumber-sumber multimedia. Pelajar perlu memiliki kemahiran untuk mengendalikan komputer dan mereka sendiri yang akan meneroka segenap bidang ilmu yang dipelajari oleh mereka. Malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi menggunakan media komputer. Contohnya penubuhan Universiti Tun Abdul Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu pendidikan negara meningkat setahap lagi ke arah kemajuan.

         Teknologi maklumat juga mampu meletakkan negara kita se­tanding dengan negara-negara maju. Dalam zaman ini kemajuan sesebuah negara diukur dengan pencapaian dalam bidang teknologi. Oleh yang demikian sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, Malaysia mestilah menitikberatkan bidang ini dan menjadikan kita duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Oleh sebab itulah negara kita mengeluarkan belanja yang banyak untuk meningkatkan segenap aspek yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Contohnya negara kita telah melancarkan satelit teleko­munikasi kita sendiri yang dikenali dengan nama MEASAT 1 dan MEASAT 11. Baru-baru ini pula saintis Malaysia berjaya menghasil­kan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1. Dengan pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding dengan negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah teknologi maklumat menjadikan negara kita setanding dengan negara maju.


Penekanan dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan pemindahan teknologi secara langsung dan tidak langsung. Pembinaan Koridor Raya Multimedia telah membuka peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di sini. Dengan ini mereka akan memindahkan teknologi canggih ini untuk dipelajari oleh rakyat negara kita. Kerajaan tidak perlu membe­lanjakan wang yang banyak untuk menghantar pegawai untuk berkur­sus di luar negara. Selain itu, dengan pemindahan teknologi ke negara kita lebih banyak pihak yang mendapat manfaat. Selain kerajaan mendapat hasil cukai, peluang pekerjaan telah disediakan untuk dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, kemajuan teknologi dapat menggalakkan pemindahan teknologi ke negara kita.

                                Teknologi maklumat juga dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan hari ini dijalankan melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik. Melalui kaedah ini peniaga tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang besar dan memerlukan kos yang tinggi. Hal ini kerana pasaran dapat diperluas melalui internet. Pembeli dari dalam dan luar negara dapat melihat produk dengan hanya menekan tetikus, di samping membuat pesanan. Perdagangan cara ini ternyata lebih berkesan kerana menjimatkan masa dan tenaga pembeli. Peniaga pula hanya perlu meneliti skrin komputer untuk menjual barangan mereka. Contohnya Amazon.com merupakan sebuah syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah membuktikan kejayaan dalam e-dagang ini. Natijahnya, teknologi maklumat dapat meningkatkan ekonomi negara.


Kesimpulannya, kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa ini pun, pergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat. Sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan teknologi maklumat agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung.